Kisah Itik dan Kura-Kura...
Terdapat dua ekor itik dan seekor
kura-kura yang bersahabat baik tinggal di suatu kawasan yang semakin
kering dek kemarau panjang. Binatang-binatang yang bermastautin di situ
telah lama meninggalkan tempat tersebut
memandangkan semakin hari semakin sukar untuk mendapatkan makanan dan
minuman. Semua kolam kering dan tumbuh-tumbuhan semakin kekuningan
dimamah sinaran mentari yang hangat membahang.
Disebabkan
keadaan semakin mendesak, maka dua ekor itik itupun telah berpakat dan
mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan yang lebih lembab dan
berair. Kura-kura berasa risau memandangkan sahabat baiknya ingin
meninggalkan tempat tersebut. Dengan keadaannya yang bergerak lambat dan
tidak boleh terbang seperti mereka, agak mustahil untuk dirinya
mengikuti jejak langkah mereka. Maka dia pun berkatalah kepada kedua-dua
ekor itik tersebut.
"Kalian hendak berpindah, nanti aku akan
mati kekeringan di sini. Aku tidak mampu terbang mengikutimu mencari
tempat yang lebih baik. "
"Hmmm.. betul juga kata kamu Si
Kura-Kura. Owh, tidak mengapa jika kamu mahu, kami boleh membantu kamu
untuk sama-sama berpindah," ujar salah seekor itik tersebut setelah
berfikir seketika.
"Bagaimana?" balas kura-kura kembali.
"Kami berdua akan menggigit sebatang kayu dan kamu juga mesti menggigit
kayu itu untuk sampai ke destinasi kita dengan selamat. Bagaimana, kamu
setuju?" Soal itik.
"Owh, kalau begitu aku setuju," kura-kura memberi persetujuan tanpa berbelah bagi.
Maka terbanglah kedua-dua ekor itik itu mencari tempat tinggal baru
bersama kura-kura. Tiba-tiba sedang melalui suatu kawasan, ada beberapa
orang budak nakal yang mengejek kura-kura.
"Hei kura-kura! Ada
hati nak terbang tinggi. Engkau tu dah memang semulajadinya tidak boleh
terbang, ada hati nak terbang tinggi macam itik. "
Kura-kura
berasa geram dan marah dengan ejekan tersebut, tetapi dia masih tidak
berkata apa-apa kerana dia tahu jika dia membuka mulut pasti dia akan
terjatuh.
Kedua-dua itik tersebut terus terbang meninggalkan
mereka tanpa mempedulikan ejekan budak-budak itu. Setelah penat terbang
mencari destinasi impian, mereka melalui satu lagi kawasan yang dipenuhi
dengan budak-budak yang sedang bermain. Mereka begitu kagum dengan
keberanian dan kesungguhan kura-kura.
"Kura-kura, kami kagum
dengan semangat yang ditunjukkan oleh kamu. Walaupun kamu tidak boleh
terbang, tetapi kamu berusaha dengan gigih dan mahu ditolong oleh
sahabat-sahabat mu, " jerit mereka kepada kura-kura.
Disebabkan
teruja dengan pujian budak-budak tersebut, maka kura-kura pun membuka
mulutnya untuk menjawab pujian budak-budak itu.
'ALHAMDULILLAH, aku ingin pergi ke tempat yang lebih baik dan berair bersama itik-itik"
Sebelum sempat menghabiskan kata-katanya, maka jatuhlah kura-kura itu ke atas tanah dan berkecailah badannya.
Begitulah berakhirnya kisah Itik dan Kura-Kura. Apabila dikeji, dihina,
kura-kura begitu kuat tetapi kura-kura yang dulu bersemangat kental
akhirnya mati menyembah bumi dek kerana sedikit pujian.
Begitu
juga dengan kita, kita akan kuat apabila dihina dan diberi pelbagai
tohmahan tetapi kita mudah terbuai dengan puji-pujian. Dalam kehidupan
ini, kita janganlah cepat lemah dengan kejian, dan cepat riak dengan
hanya sedikit pujian.Sebaliknya sentiasa bersyukur dan jadikan setiap
kejian, umpatan dan fitnah tersebut sebagai sumber kekuatan kita untuk
terus berjaya. Dan jika kita dipuji, janganlah pula berasa riak.
Sebaliknya kembalilah segala pujian tersebut kepada-Nya, kerana tanpa
keizinan-Nya tidak mungkin kita mampu memiliki apa yang kita usahakan.
Awal pujian adalah lembah kehinaan. Janganlah kita mudah terbuai dengan pujian yang diberikan, kelak kita yang akan binasa
No comments:
Post a Comment